Kugenggam Sebuah Kejayaan |
Kugenggam Sebuah Kejayaan
Di daerah sunyi, sepi tenang dan bening memukul perasaan.
Kayangan (1990), masih lagi mengejar makna kemajuan untuk
mengisi kemerdekaan yang ditinggalkan bersama perjuangan
yang belum selesai setelah tercatat berbagai peristiwa suka duka
dalam lipatan sejarah negara. Embun pagi menitis bersama
kedinginan mengajak ketenangan berpaut untuk memberikan
ceria alam tika sang mentari mula menampakkan wajahnya.
Kokokan ayam dan siulan unggas-unggas bersahutan
menunaikan tugas seharian mengejutkan alam lena yang panjang.
Cermin mimpi mula berderai menghadapkan makna realiti yang
perlu ditempuhi oleh setiap insan di dunia ini.
Di pembaringan, kedinginan masih lagi menyucuk seluruh tubuh
namun kugagahi jua untuk bangun demi suatu perjuangan.
Selepas mengucap syukur kepada Ilahi kerana masih lagi
dipanjangkan umur dan aku terus berdoa semoga hari ini
lebih baik dari hari semalam. Itulah yang dikatakan orang-orang
yang berjaya. Akan aku usahakan agar segala usaha dan bakti yang
aku curahkan akan membuahkan hasilnya. Pesan mak yang
masih lagi segar dalam ingatanku, “Anakku, mengertilah
bahawa kau mesti rajin belajar. Kerana sesungguhnya kalau kita
berharta maka kita perlu menjaga harta tersebebut, akan tetapi
sekiranya kita berilmu maka ilmu itu akan menjaga kita. Zaman
kami dengan zaman kamu tidak sama. Dulu masa kami belajar,
berjalan kaki berkilometer semata-mata hendak ke sekolah.
Buku-buku memang tak mampu nak beli.
Belajar pun di bawah pelita minyak tanah. Sekolah tak ada kipas,
panas...!!! tapi kami
tetap belajar untuk mencari ilmu.” Mak... susahkan orang-orang
dulu belajar dan mencari ilmu !!!. Tentu banyak pengorbanan
yang mak buat masa kecil dulu. Cerita mak lagi, pensil dulu tak ada
pensil tekan, kalau diasah dan menjadi semakin pendek
disambung dengan buluh supaya masih boleh digunakan. Jalan
nak ke sekolah dulu tak ada tar.... jalan tanah merah. Kasut kalau
putih dah bertukar menjadi merah. Setahun sekali nak tukar kasut
pun susah. Koyak rabak sana sini tapi masih lagi setia dikaki
mengatur langkah ke sekolah. Kalau hujan terpaksa isi kasut dalam
plastik dan pakai selipar ke sekolah. Susah-payah zaman dulu.
Syukur, zaman ini zaman moden. Tak perlu jalan kaki ke
sekolah, tak perlu susah payah isi minyak gas dalam pelita nak
baca buku, ada TV, ada komputer, ke sekolah pun ada basikal tak
pun orang hantar dengan motor atau kereta dan banyak lagi
kemudahan yang dinikmati.
Yang perlu kita perlu bersedia untuk menjadi seorang pelajar
dan bersedia untuk diajar.
Sarapan pagi nasi lemak, roti kaya dan kuih-muih dah tersedia
bersama wang belanja harian di meja makan. Teringat cerita
mak, “Dulu mak pergi sekolah bekalnya ubi rebus dengan air
teh. Kadang-kadang kalau tak bawa bekal, waktu rehat minum
air paip kat sekolah sebab tak ada duit belanja. Balik baru
makan nasi kat rumah. Lauknya kadang-kadang ikan masin,
kadang-kadang telur dan kadang-kadang dengan kicap sahaja.”
Mak tenang bercerita kepadaku sedang aku dapat melihat derita
dari sinar matanya. Terasa amat berbeza dulu dan sekarang. Kata
mak lagi “ belajarlah rajin-rajin. Mak tak mahu kamu susah
dikemudian hari nanti.” Sebelum pergi sekolah aku cium tangan
mak dan ayah sambil mengucapkan salam kepada mereka berdua
sambil memohon keredhaan mereka. Aku ingat pesan cikgu
yang menyuruh aku berbuat demikian kerana doa ibu-bapa
adalah rahsia utama kejayaan kita. Masih kukuh diingatanku
dengan kata-kata yang tersangkut di dinding kantin sekolah
“Harapan bonda, insyaAllah tetap akan kami tunaikan”. Mak,
anakmu berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya.
Dan aku berdoa agar aku akan berjaya dalam perjuangan aku ini.
Basikal kukayuh dengan semangat membara memburu kejayaan
dihari muka. Sekolah memang tak jauh dari rumah tetapi aku lebih
selesa berbasikal. Ramai rakan-rakanku dihantar oleh ibu-bapa
mereka. Susah payah mereka demi untuk melihat si anak
mampu menggenggam harapan yang tercipta. Kami riang
menikmati suasana pagi dikeceriaan alam suasana desa yang bisa
menggamit seribu satu macam nostalgia disuatu hari kelak.
Kufikirkan dimasa hadapan segala-galanya pasti berubah
kerana aku telahpun menikmati limpahan lampu elektrik berbanding
dulunya hanyalah kerdipan pelita minyak tanah.
Rakan-rakanku ramai yang sudah tiba awal. Pengumuman
keputusan peperiksaan PMR akan diumumkan pada hari ini. Debar
hatiku menunggu akan detik itu, begitu juga wajah
sahabat-sahabatku yang lain. Masing-masing cuba meredakan
debar dengan berbual-bual dan bertanyakan khabar masing-masing
dan aktiviti semasa cuti sekolah. “Berusahalah, tiada jalan pintas
untuk berjaya, ramai orang yang berjaya menempuh berbagai
cabaran dan dugaan sebelum berjaya mendaki sehingga ke
puncak”, pesan guru kelasku sewaktu mula-mula masuk di
dalam tingkatan 3. “Rancanglah proses pembelajaran kamu kerana
orang yang gagal merancang adalah orang yang merancang untuk
gagal”, bergema lagi nasihat guru dimindaku. Tika kita berbicara
tentang cita-cita kau berpesan “Letakkan cita-citamu ditempat yang
tinggi agar orang lain tak dapat mencapainya, hanya kita yang akan
menentukan nasib diri kita. Bukan orang lain tapi kamu ...!!!
Percayalah pada diri sendiri yang kamu memang boleh
berjaya...!!! ”. Cikgu, nasihatmu kusemat dalam diri menjadi
azimat untuk berjaya. Mak, abah dan cikgu, aku telah berusaha
bersungguh-sungguh dan mengikut segala nasihatmu. Buku-buku
pelajaran telah aku baca sebaiknya disamping buku-buku tentang
belajar cara untuk belajar. Doa telah kupanjatkan setiap waktu
kepada Ilahi semoga apa yang aku lakukan diberkati. Berjaya
atau gagal aku disini bukanlah bererti aku akan gagal selamanya.
Tetapi, aku juga ingin keluar dari kepompong ini untuk aku lihat
dunia luar. Aku mesti pergi demi mengobarkan cita-cita dan
perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
Ramai orang sudah mula berbaris di hadapan pejabat untuk
mengambil keputusan masing-masing. Ada yang berwajah ceria
dan ada yang muram apabila keluar dari pejabat. Aku...???
Debar menanti dengan penantian itu suatu penyiksaan. “Ya Allah,
tabahkanlah hatiku dan semoga usahaku selama ini berbalas
dengan kejayaan.” Tiba giliran aku untuk mengambil keputusan,
dadaku berdebar-debar dan tanganku menggigil menyambut
slip keputusan peperiksaan yang dihulurkan. Mataku bingkas
membaca setiap baris yang tertulis. “Alhamdullillah...” terpacul
syukur tanpa sedar bersama titis air mata kegembiraan.
Terasa lembut tangan menyentuh bahuku. “Tahniah, kau telah
berjaya mengharumkan nama sekolah. Cikgu bangga dengan
kejayaanmu, muridku yang nakal.” Kepeluk erat guruku,
"maafkan saya cikgu dan terima kasih kerana mendidikku menjadi
manusia.” Rakan-rakanku mula mengerumuni cikgu dan
masing-masing saling menunjukkan keputusan yang diperolehi.
Kepuasan tertera di wajah kerana setiap usaha telah diterjemahkan
maknanya dengan keputusan peperiksaan ini. Kami berjanji kepada
diri sendiri untuk meneruskan perjuangan ini kerana masih banyak
lagi jalan berliku yang harus ditempuhi. Mak, abah, cikgu-cikgu
dan rakan-rakanku terima kasih atas segala pengorbanan dan
kini kejayaan dalam genggamanku.